Masyarakat Cina sememangnya begitu terkenal dengan kehebatan mereka
dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Bukan hanya masyarakat Cina di negara
kita, malah boleh dikatakan hampir di seluruh dunia kita dapat melihat
masyarakat Cina memonopoli bidang perniagaan. Produk-produk yang terdapat di
pasaran hari ini juga kebanyakkannya datang dari negara Tembok Besar itu
termasuklah barang-barang keperluan rumah, tekstil dan pakaian, serta
peralatan-peralatan IT terkini. Mereka juga mampu untuk menjadikan sesuatu
perniagaan yang bermula hanya dengan kecil-kecilan menjadi lebih maju dan luas.
Pendek kata, keistimewaan kaum Cina ini adalah daripada aspek strategi mereka
menjalankan perniagaan tersebut. Hal ini turut menjadikan kaum Cina dipandang
begitu tinggi kerana mereka mempunyai kemahiran yang tersendiri dalam
menjalankan sesuatu perniagaan yang mereka ceburi.
Apabila dikaji secara mendalam, apa yang dapat dirumuskan adalah
kemahiran dalam perniagaan atau bisnes bukanlah suatu keistimewaan yang hanya
boleh didapati bagi sesuatu kaum. Tetapi kemahiran tersebut sememangnya boleh
dipelajari.
Pegangan Masyarakat Cina dalam Perniagaan
Masyarakat Cina mempunyai pegangan yang tersendiri dalam usaha memajukan
perniagaan mereka. Pegangan mereka ini begitu kuat sehingga mereka akan cuba
melaksanakan segala apa yang termampu untuk mendapatkan hasil yang lebih baik
dalam bisnes yang dijalankan. Berikut merupakan tujuh pegangan masyarakat Cina
dalam aspek bisnes atau perniagaan :
- Rajin, jika tidak berniaga akan menjadi malas
- Jimat, jika tidak akan membazir modal
- Senyuman dengan pelanggan, jika tidak pelanggan akan lari
- Kejar masa, jika tidak peluang akan diambil orang
- Harga berpatutan, sekiranya tidak mungkin akan menimbulkan pergaduhan
- Membenarkan hutang hanya dengan orang yang dikenali, jika tidak modal akan hilang
- Semak akaun setiap hari untuk pastikan modal bagi hari esokKetujuh-tujuh ini juga merupakan peribahasa masyarakat Cina tentang perniagaan dan bisnes. Sekiranya kita meneliti ketujuh-tujuh aspek ini, dapat disimpulkan bahawa sikap menjadi kunci utama kejayaan mereka dalam perniagaan. Sikap yang baik, tekun dan gigih merupakan asas kepada rahsia kejayaan mereka selama ini.
Perniagaan Adalah Satu Seni
Apa yang lebih menarik lagi, masyarakat Cina turut menganggap bisnes
merupakan satu seni. Memetik satu falsafah masyarakat Cina yang berbunyi,
‘dunia perniagaan penuh dengan sepak terajangnya. Oleh itu peniaga perlu
mempersiapkan dirinya dengan seni kungfu perniagaan bagi menghadapi sebarang
bentuk serangan dan kemungkinan mendatang.’ Falsafah ini begitu popular dalam
kalangan mereka. Mereka turut menyamakan perniagaan atau bisnes dengan seni
kungfu yang digunakan untuk mempertahankan diri. Mengapa? Dunia bisnes
memerlukan kita untuk bersedia bagi menghadapi segala rintangan dan masalah
yang tidak dijangka. Begitu juga dengan seni kungfu. Mempelajari seni kungfu
adalah bertujuan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang bentuk
ancaman yang mendatang. Maka, daripada sinilah timbulnya istilah seni bisnes
atau seni perniagaan bagi masyarakat Cina. Terdapat beberapa tip penting yang
membahaskan tentang seni perniagaan masyarakat Cina, anataranya ialah :
- Seni berniaga adalah cukup halus dan tidak memadai mempelajarimya secara teori sahaja. Berniaga perlu praktikal dan menuntut seseorang supaya selalu bersikap fleksibel.
- Peniaga perlu bersikap ringan tulang, ramah serta menjadikan pelanggan sebagai saudara rapat atau sebagai seorang sahabat.
- Seseorang peniaga perlu mempunyai daya ketahanan yang tinggi, mental yang kuat dan jiwa yang teguh dengan pendirian.
Untuk menjadi seseorang yang berjaya dalam perniagaan dan bisnes, mereka
selalunya tidak kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan asalkan dapat menarik
dan meyakinkan hati pelanggan. Bagi mereka, pelanggan yang akan membantu mereka
untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan. Antara petua yang
mereka selalu amalkan dalam perniagaan adalah ‘menjadi peniaga yang mudah
dipercayai, mudah berurusan dan tidak cerewet.’ Disebabkan petua ini juga,
mereka begitu gigih dan bersungguh-sungguh untuk menarik hati pelanggan dan
menjaga pelanggan yang sedia ada dengan sebaik-baiknya. Bagi mereka juga, dalam
perniagaan perlu ada nilai-nilai kemanusiaan, elemen kebajikan dan
tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan peniaga adalah diibaratkan seperti
hamba yang berkhidmat kepada tuannya.
Selain itu, masyarakat Cina turut menekankan beberapa ciri-ciri seorang
peniaga yang perlu ada dalam diri mereka. Bisnes atau perniagaan tidak akan
menjadi satu seni sekiranya ciri-ciri ini tidak ada dalam diri mereka. Antara
ciri-ciri tersebut adalah :
- Sabar
- Tidak mudah putus asa
- Pandai merebut peluang
- Mempunyai perhubungan awam yang baik
- Berpandangan jauh
- Berpegang pada janji
- Berupaya meyakinkan pelanggan semasa menguruskan perniagaan
- Memiliki daya tahan dan semangat juang yang tinggi
- Tidak suka menunggu kerana peluang tidak pernah menunggu mereka
Ciri-ciri ini perlu ada dalam diri setiap peniaga yang ingin memastikan
perniagaan mereka dapat berkembang maju. Apa yang disenaraikan ini juga adalah
merupakan satu jalan yang boleh diguna pakai dalam strategi seseorang peniaga
untuk menarik lebih banyak kepercayaan dan keyakinan para pelanggan terhadap
bisnes yang dijalankan. Apabila pelanggan semakin ramai, maka sudah tentu
untung yang lebih besar juga turut menanti.
Konsep Berniaga yang Diamalkan oleh Kaum Cina
Kaum Cina mensasarkan matlamat dan tujuan tertentu dalam perniagaan
mereka. Bagi memastikan matlamat mereka tercapai, mereka akan saling
bantu-mambantu antara satu sama lain khususnya sesama masyarakat Cina. Konsep
perniagaan orang Cina adalah berasaskan prinsip simbiosis iaitu mereka sebagai
peniaga saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Contoh, sekiranya ada
peniaga Cina yang menjual barangan runcit, maka peniaga Cina yang lain akan
menjual barangan basah seperti ikan, daging dan ayam serta barangan keperluan
yang lain. Mereka turut bijak mengambil peluang dengan membuka restoran di
kawasan tersebut dan akan mendapatkan barang-barang keperluan untuk memasak
daripada kedai-kedai yang telah sedia ada di sekitar kawasan tersebut. Secara
tidak langsung, peluang yang mereka ambil ini akan menjadikan perniagaan di
kawasan tersebut berkembang kerana adanya sokongan yang kuat dalam kalangan
peniaga di kawasan tersebut. Apabila hal ini terjadi, perniagaan masing-masing
akan lebih mudah berkembang dan tidak mudah untuk gulung tikar.
Terdapat satu fakta menarik tentang konsep perniagaan orang Cina yang
perlu kita ketahui. Suku Hailam merupakan suku terakhir yang masuk ke Tanah
Melayu satu ketika dahulu. Apabila mereka sampai, mereka melihat banyak bidang
perniagaan yang sudah diterokai oleh suku-suku Cina yang datang lebih awal.
Maka mereka menceburkan diri dengan mengambil peluang membuka kedai kopi yang
mana ketika itu belum diterokai secara meluas oleh suku-suku Cina yang lain. Mereka
turut mempelbagaikan menu mereka dengan memperkenalkan roti bakar dan nasi ayam
Hainan. Akhirnya, perniagaan ini kekal sehingga ke hari ini dan semakin meluas
dari hari ke hari.
Dalam satu kajian terhadap sebuah buku yang bertajuk Rahsia Bisnes Orang
Cina hasil karya Ann Wan Seng ada menyatakan bahawa masyarakat Cina tidak
memandang rendah kepada mana-mana orang yang gagal dalam perniagaan dan mereka
memandang tinggi kepada sesiapa yang hendak berusaha dan selalu memberi galakan
serta peluang kepada sesiapa yang mahu melibatkan diri dalam perniagaan. Ini
membuktikan, bahawa mereka langsung tidak mengenal erti putus asa dan erti
kegagalan dalam bisnes yang dijalankan sebaliknya hanya memandang kehadapan
tanpa menoleh lagi kebelakang. Maka tidak hairanlah pada hari ini kita dapat
melihat lapangan perniagaan di negara kita majoriti besar dikuasai oleh
masyarakat Cina.
Tokoh Usahawan Cina di Malaysia
1.0 Robert Kuok
Di negara kita, terdapat ramai tokoh-tokoh bisnes yang majoritinya
terdiri daripada masyarakat Cina. Jumlah mereka mungkin boleh mencecah sehingga
ratusan atau ribuan orang. Antara tokoh bisnes daripada kaum Cina yang terkenal
di Malaysia ialah Robert Kuok merupakan seorang tokoh peniaga daripada
masyarakat Cina yang lahir di Johor Bahru pada 6 Oktober 1923 dan memiliki anak
seramai 8 orang. Beliau juga merupakan antara jutawan yang memiliki aset
berbilion ringgit hasil daripada usaha gigihnya membangunkan perusahaan gula di
Malaysia. Beliau juga turut diberi gelaran ‘Raja Gula Asia’. Beliau sangat
bijak mengambil peluang kerana mampu menjana keuntungan yang besar hanya dengan
menghasilkan pengeluaran gula untuk negara.
Selain itu, beliau turut menjawat jawatan sebagai Pengerusi Shangri-La
Hotel dan Resort Chain. Apa yang dapat disimpulkan, beliau tidak mengecapi
kejayaan seperti yang beliau miliki pada hari ini dengan mudah. Banyak
pengorbanan dan modal yang perlu dikeluarkan untuk beliau membangunkan
perusahaan gula sehingga boleh bertahan sampai ke hari ini. Nama beliau juga
turut tersenarai antara individu terkaya di rantau Asia.
2.0 Mendiang Lim Goh Tong
Mendiang Lim Goh Tong yang merupakan seorang usahawan Tionghua terkaya
di Malaysia dan Asia pada tahun 2005 sehingga beliau meniggal dunia. Beliau
memiliki aset berjumlah sehingga 421.60 bilion ringgit Malaysia. Beliau juga
merupakan Pengasas dan Prseiden seumur hidup kumpulan Genting. Selain memiliki
hotel, beliau turut mempunyai kasino yang dikunjungi 14 juta orang dalam setahun
serta memiliki aset-aset mewah yang lain. Dalam satu catatan sejarah menyatakan
bahawa beliau datang ke Malaysia dari Fujian China ketika berumur 19 tahun dan
hanya membawa wang berjumlah RM175 sebelum berkerja dan membina syarikat
sendiri iaitu Kien Huat.
Usaha gigih beliau dan idea yang kreatif telah membuatkan beliau
berhasrat untuk mendirikan Genting sebagai sebuah tempat perlancongan di
Malaysia. Hasilnya, Genting Highlands masih menjadi tumpuan pelancong dari
serata dunia walaupun kini beliau telah pergi selama-lamanya.
Kedua-dua tokoh ini merupakan antara contoh usahawan masyarakat Cina
yang berjaya membina empayar perniagaan yang begitu berpengaruh selain
membuktikan pada semua bahawa setiap kejayaan yang ingin dikecapi perlu melalui
usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa. Sememangnya peniaga-peniaga
atau usahawan-usahawan Cina mempunyai taktik dan startegi tersendiri. Namun
semua itu dilihat sebagai satu seni dalam perniagaan. Etika masyarakat Cina
juga turut membenarkan penggunaan startegi masing-masing asalkan tidak
mendatangkan kemudaratan kepada peniaga dan pelanggan.
Sebaik-baiknya biarlah
strategi tersebut mendatangkan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak. Pendek
kata, peniaga-peniaga Cina mempunyai daya kreativiti yang tinggi selain bijak
mencuri peluang yang ada dihadapan mata. Peluang akan digunakan dengan
sebaik-baiknya bagi memastikan keuntungan yang besar boleh dicapai dan kejayaan
hanya akan diperoleh sekiranya mereka mempunyai sikap yang rajin, tekun dan
tidak mudah mengalah sekiranya menghadapi kegagalan. Maka, wajar bagi msyarakat
lain di negara ini untuk mencontohi sikap kaum Cina dalam usaha mereka
menjalankan perniagaan.
sumber: http://www.usahawan.com
No comments:
Post a Comment