Akhir-akhir ini, dek kerana kejatuhan wang
fiat di sebelah Barat, orang ramai berpusu-pusu menukarkan sebahagian harta
mereka ke dalam bentuk emas dan perak kerana kedua logam berharga ini kalis
inflasi. Keghairahan fenomena ini turut menyumbang kepada keadaan di mana peti
simpanan deposit di bank-bank sekitar Kuala Lumpur dan Selangor penuh!
Cerdik pandai terutamanya pelabur muda yang
agak agresif daripada datuk nenek kita yang menyimpan emas secara pasif sejak
berzaman dahulu, golongan ini menggunakan sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu)
sebagai alat manipulasi demi mendapat keuntungan yang berlipat-lipat kali ganda
daripada cara yang dipraktikkan ibu, bapa, datuk dan nenek mereka. Tetapi,
persoalannya di sini, halal kah cara itu? Dan yang paling penting, bagaimana?
Sebelum berbicara tentang itu, mari kita kaji
asal usul sistem pajak gadai Islam.
Antara senario masa kini yang wujud di dalam
pinjaman mikro kredit di negara ini ialah terdapat banyak perkhidmatan yang
tidak selaras dengan undang-undang dan bercanggah dengan akhlak Islam sedang
memenuhi jurang penawaran perkhidmatan kewangan kepada masyarakat dalam
kelompok berpendapatan rendah.
Terdapat dua hadis yang berkaitan dengan
sistem ini:
- Dalam Riwayat Al-Bukhari dan Muslim: “Bahawasanya Nabi saw menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abu Syahmi atas pinjamannya sebanyak 30 sha gandum untuk keluarganya.”
- Dalam Riwayat Al-Bukhari dan Muslim: “Dari Aisyah r.a yang bermaksud Nabi s.a.w pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang di hutang. Sebagai tanggungan atas hutangnya itu Nabi s.a.w menyerahkan baju besinya”
Di atas kesedaran itu, sistem Pajak Gadai
Islam Ar-Rahnu ditubuhkan atas dasar Fardu Kifayah dan bukan atas dasar
keuntungan semata-mata oleh pelaksanaannya. Sistem yang dinamakan Skim Pajak
Gadai Islam Ar-Rahnu ini sebenarnya dilahirkan sehubungan dengan Akta 81–Akta
Pemegang Pajak Gadai 1972 di bawah Seksyen 46. Ia juga merupakan rentetan daripada
perlaksanaan Syariah dalam sistem perbankan pada awal 1983. Ianya telah
dilaksanakan buat pertama kalinya oleh Majlis Agama Islam Terengganu pada 23
Januari 1993 dengan dikenali sebagai Muassasah Gadaian Islam Terengganu.
Memandangkan skim ini berdaya maju dan
memenuhi kehendak dan hukum Syariah, beberapa badan pergerakan koperasi dan
kerajaan negeri telah mula menceburkan diri. Kerajaan Perlis, sebagai contoh,
telah menubuhkan Pajak Gadai Islam pada Januari 1997. Antara badan pergerakan
koperasi yang terawal dalam perlaksanaan skim ini ialah Koperasi Pengguna
Pahang Berhad, Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dan Koperasi
Kakitangan Kerajaan Dan Badan-Badan Berkanun Terengganu (KOKANUN).
Antara tujuan utamanya ialah untuk
menghapuskan riba atau hasil bunga (faedah) dan gharar yang dikenakan oleh
pengusaha kedai pajak gadai secara konvensional. Skim ini memberikan kemudahan
alternatif kepada kemudahan pinjaman yang sedia ada di samping memberi pilihan
kepada peminjam untuk menuruti kehendak dan hukum Syariah.
Berbalik kepada cerita emas dan perak di awal
artikel, salah satu daripada keuntungan menyimpan emas (perak tidak boleh lagi
setakat ini) ialah ia boleh digadaikan di Ar-Rahnu. Di Malaysia, perkhidmatan
Ar-Rahnu biasanya disediakan oleh bank-bank tertentu seperti Agrobank, Bank
Rakyat dan Bank Islam. Ada juga institusi lain seperti YAPEIM dan Permodalan
Kelantan Berhad.
Skim ini beroperasi dengan memberi pinjaman
ihsan sementara kepada yang memerlukan, dengan cagaran atau barang sandaran
yang di-namakan marhun. Di dalam konsep ini, sesuatu barang yang berharga
dijadikan sebagai cagaran yang terikat dengan hutang. Pendek kata, sekiranya
hutang tersebut tidak dijelaskan, maka marhun itu tadi boleh digunakan untuk
menjelaskan baki hutang tersebut. Tujuan marhun ini ialah untuk meyakinkan tuan
punya hutang/pemiutang bahawa risiko pembayaran semula hutang tadi dapat
dikurangkan. Sementara di pihak penghutang, mereka ini tidak perlu menanggung
beban pembayaran semula yang tinggi.
Ar-Rahnu beroperasi berdasarkan dua konsep
iaitu:
- Ar-Rahnu yang merujuk kepada mekanisme di mana suatu barang berharga dijadikan sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya, sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.
- Al Wadiah Yad Dhamanah yang merujuk kepada simpanan barang berharga dengan jaminan. Setiap simpanan akan dikenakan upah simpan.
Menjawab persoalan yang disebut di awal
artikel, ya sistem ‘buat duit’ ini adalah halal kerana ia memenuhi ciri-ciri
berikut:
- Bebas dari unsur-unsur riba, selari dengan kehendak dan hukum Islam.
- Ianya berkonsepkan fardu kifayah; iaitu membantu sesama umat yang memerlukan pertolongan.
- Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas
peminjam dan pemberi
pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan yang dibenarkan oleh Syarak. - Paduan yang syumul antara sifat-sifat komersil dan amal jariah; adil dan tidak membebankan peminjam.
- Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha;
menyimpan
barang gadaian tersebut dengan baik. - Transaksi perniagaan yang lebih telus;
bersandarkan kepada harga
semasa barang gadaian (kebiasaannya barang gadaian ialah emas).
Dari segi rukun, Ar-Rahnu terbahagi kepada:
- Penggadai: orang yang menggadai/orang yang berhutang.
- Penerima Gadaian: pemegang gadaian/pemberi pinjaman.
- Barang Gadaian : barang yang berharga yang terletak di bawah
simpanan penerima gadaian. - Tanggungan Gadaian: jumlah yang terhutang.
- Sighah/Perjanjian: perjanjian berkaitan pinjaman yang diberikan atau hutang dan gadaian.
Selain daripada itu, ada beberapa terma yang
perlu anda ketahui, antaranya ialah:
- Margin Pinjaman adalah 50 peratus nilai semasa di pasaran ke atas cagaran. Biasanya margin ini boleh mencecah sampai 70% (Agro Bank).
- Kadar Upah Simpan ialah sebanyak RM0.60 sebulan setiap RM100 nilai marhun (nilai marhun yang kurang daripada RM1000). RM0.70 sebulan setiap RM100 nilai marhun (nilai marhun yang lebih daripada RM1000). Ini sebenarnya adalah cara Ar-Rahnu membuat keuntungan memandangkan sistem pajak gadai Islam tidak mengenakan faedah ke atas pinjaman yang diberikan seperti mana kedai pajak gadai dan bank konvensional.
- Tempoh Pinjaman pula ialah enam bulan untuk maksimum. Jika
penggadai gagal menebus dalam tempoh tersebut, pihak Pajak Gadai Islam
boleh memberi tempoh kelonggaran penebusan untuk 2 bulan lagi tanpa
permohonan daripada peminjam. Di peringkat ini, peminjam tidak semestinya
membayar upah simpan.
Jika penggadai masih tidak menebus dalam tempoh kelonggaran, tempoh gadaian boleh dilanjutkan untuk tempoh maksimum 2 bulan lagi dengan syarat penggadai membuat permohonan melanjutkan tempoh dan menjelaskan upah simpan pada tempoh gadaian yang asal dan tempoh kelonggaran selama 8 bulan.
- Cagaran ialah emas tulen (bergantung kepada keadaan fizikal dan jenisnya).
- Hasil Lelongan yakni barang gadaian yang tidak ditebus selepas tamat tempoh pinjaman akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai. Pastikan anda jangan sampai ke tahap ini!
Baiklah, setelah ilmu penuh di dada, di sini
diterangkan cara manipulasi yang diamalkan golongan pelabur emas muda yang
disebut di awal artikel. Caranya mudah sahaja, sangat common sense. Begini,
ketika harga emas rendah (harga komoditi emas harian boleh dilihat di www.kitco.com),
mereka memajakkan emas di Ar-Rahnu. Dengan hasil pajakan yang sampai 65-70%,
mereka beli lagi emas, contohnya Syiling Emas UOB, Kijang Emas atau jongkong
emas Public Gold. Kemudian, mereka memajakkan pula emas-emas yang baru dibeli
itu. Hasil pajakan kali kedua digunakan untuk beli lagi emas fizikal.
Proses diulang-ulang sehingga 2-3 kali. Di
hujung proses, emas fizikal dipastikan ada di tangan. Apabila harga emas naik,
mereka menjual emas fizikal di tangan dan hasil jualan digunakan untuk tebus
emas di dalam Ar-Rahnu dan proses diulangi sehingga semua emas habis ditebus.
Di akhir proses, mereka akan dapat semua emas yang pertama. Inilah cara mereka
membuat keuntungan kerana jualan emas pada harga tinggi boleh menampung kos
upah simpan di Ar-Rahnu bagi emas-emas yang digadaikan. Hebat?
Jika anda masih tidak yakin, teruskan
membaca…
Beberapa kelebihan Ar-Rahnu berbanding sistem
pajak gadai konvensional ialah:
- Perbezaan utama antara Ar-Rahnu dan sistem pajak gadai konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar-Rahnu, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam.
- Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak akan timbul keadaan di mana barang kemas yang anda tebus kurang berat daripada sebelum digadai!
- Semua barang kemas yang disimpan semestinya selamat. Penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Anda juga dapat jimat kos menyimpan di peti simpanan deposit Jyang agak mahal
- Wang gadaian yang lebih akan dipulangkan. Kalau pemberi gadaian tak mampu nak bayar balik hutang yang ditanggung bila tempoh perjanjian tamat, pemberi gadaian akan dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Kalau harga jualan melebihi baki hutang, lebihan tersebut akan dipulangkan.
- Caj perkhidmatan di Ar-Rahnu jauh lebih murah daripada kedai pajak gadai konvensional. Silap-silap hari bulan, ada je tauke kedai pajak gadai konvensional yang meminta wang pendahuluan daripada penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.
- Ar-Rahnu adalah sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannya berkaitan tempoh bayar balik wang pinjaman. Tempoh bayar balik pun munasabah. Tak macam sesetengah kedai pajak gadai konvensional yang meminta wang tambahan sekiranya tempoh pinjaman ingin dilanjutkan.
- Di Ar-Rahnu, sebarang nilai timbangan akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian. Maka pemberi gadaian tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat.
- Ar-Rahnu dijamin memberi nilai gadaian yang
sepatutnya.
Terdapat unsur penipuan dalam sistem pajak gadai konvensional kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara untuk menilai gadaian berkenaan. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai. - Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan.
Semoga dengan adanya Skim Pajak Gadai Islam
Ar-Rahnu ini, ia dapat memberi pilihan kepada masyarakat Islam yang memerlukan
pinjaman segera agar tidak lagi terbelenggu dengan sistem pajak gadai
konvensional yang lebih bersifat menindas.
sumber: http://www.usahawan.com
Hello, Saya Puan Heather Putih, syarikat pinjaman pinjaman peribadi. Kami sedang dan pakar dalam memberikan yang akhir pinjaman tahun ini, pinjaman Krismas, tahun pinjaman baru untuk anda untuk membayar apa-apa pinjaman koperasi yang anda sedang berada di sekarang kita memberikan pinjaman peluang seumur hidup untuk anda untuk membayar bil-bil anda dan hutang peribadi dan memiliki perniagaan anda. pinjaman diberi kepada individu dan syarikat pada kadar faedah yang sangat rendah sebanyak 2%. Jadi hubungi kami hari ini melalui e-mel: (qualityloanfirms@asia.com)
ReplyDelete(heatherwhiteloanltd@gmail.com). Datang dan perbezaan pengalaman dalam perkhidmatan kami.
facebook,com
ReplyDelete